PERTANDINGAN BLOG KEPENGGUNAAN SEMPENA HARI PENGGUNA 2015 : Kategori A (BAM1)

Thursday, 11 June 2015

Lonjak imej pengangkutan awam dengan tren

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

ARTIKEL UTUSAN

JOHOR BAHRU 7 Mei – Kemudahan sistem tren yang menyeluruh di bandar-bandar utama di negara ini adalah salah satu keperluan asas bagi membawa transformasi dan menaikkan imej pengangkutan awam di negara ini.

Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah berkata, kemudahan itu amat penting kerana ia adalah satu medium pengangkutan awam yang digemari tanpa mengira latar belakang pengguna.

“Sebagai contoh, pengangkutan tren melalui sistem Transit Aliran Ringan (LRT) di Kuala Lumpur menjadi pilihan pengguna kerana kemudahan akses yang diterima pengguna, selain daripada bas dan teksi.

“Kemudahan itu bagaimanapun tidak wujud di bandar-bandar utama lain di negara ini seperti di Penang dan Johor Bahru,” katanya semasa menghadiri seminar Culturing Knowledge yang diadakan di Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA), UTM, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Jabatan Geoteknik dan Pengangkutan FKA, Prof. Madya Dr. Edy Tonnizam Mohamad dan pengerusi seminar, Dr. Ir. Anil Minhans.

Ahmad Farhan yang juga Pesuruhjaya Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat berkata, tanggungjawab utama memulihkan imej pengangkutan awam di negara ini terletak pada bahu kerajaan dengan melakukan pelbagai penambahbaikan terhadap sistem pengangkutan sedia ada.
“Untuk menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan kepada pengguna, pihak berwajib harus mengambil langkah proaktif dengan menambah baik kemudahan sedia ada, khususnya berkaitan pelaksanaan sistem tren.

“Apabila kemudahan itu sudah tersedia, secara tidak langsung pengguna akan mempunyai pilihan untuk menaiki tren berbanding memandu kenderaan sendiri untuk ke satu-satu destinasi,” ujarnya.

Sementara itu, Edy Tonnizam memberitahu, seminar itu diadakan bertujuan berkongsi maklumat berhubung kemudahan pengangkutan awam di negara ini dan langkah-langkah yang boleh diambil untuk menambah baik kemudahan tersebut.


Wednesday, 3 June 2015

Lembaran baharu sistem pengangkutan mesra alam

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

ARTIKEL ASTRO AWANI

BRT-Laluan Sunway

PETALING JAYA: Pengangkutan awam menggunakan teknologi mesra alam pertama negara, sistem Bas Rapid Transit Laluan Sunway (BRT-Laluan Sunway) membuka lembaran baharu dalam perkhidmatan pengangkutan awam negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sistem pengangkutan BRT-Laluan Sunway yang dibangunkan Kumpulan Prasarana dan Kumpulan Sunway itu merupakan projek pengangkutan awam yang mencapai piawaian antarabangsa dan amat membanggakan negara.

"Projek ini memenuhi hasrat kerajaan untuk membangunkan sistem pengangkutan awam yang efisien, boleh diharap dan selesa," katanya semasa merasmikan sistem BRT-Laluan Sunway di Kompleks BRT Sunway dekat sini hari ini.

Najib turut melancarkan bas elektrik pertama pada majlis itu yang dicatatkan dalam Malaysia Book of Records sebagai bas elektrik pertama negara yang digunakan untuk sistem pengangkutan awam.

Beliau berkata apa yang dicapai hari ini merupakan teknologi pintar dalam usaha mengurangkan kesesakan jalan raya dan pengurangan pelepasan gas karbon.

Katanya bagi meningkatkan minat masyarakat menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam itu, tiada bayaran dikenakan mulai esok untuk tempoh dua bulan.

Perdana menteri berkata sistem BRT-Laluan Sunway ini juga selaras dengan aspirasi kerajaan untuk meningkatkan lagi penggunaan teknologi hijau dan gaya kehidupan baharu yang mesra alam dalam perkhidmatan pengangkutan awam.

Najib turut memuji kaedah pelaksanaan projek BRT yang merupakan kerjasama awam-swasta (PPP) antara Kumpulan Prasarana dengan Kumpulan Sunway, dan berharap lebih banyak kerjasama dapat dilakukan dalam memajukan pengangkutan awam negara.

Beliau berkata pelaksanaan sistem pengangkutan itu merupakan capaian penting negara ke arah mengajak masyarakat menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam dengan lebih kerap dan mengurangkan penggunaan kereta persendirian seperti dilakukan di negara maju.

"Ada sesetengah negara maju yang penduduknya menyimpan kenderaan di 'country side' dan menggunakan pengangkutan awam untuk ke mana-mana. Kita juga boleh melakukannya jika mempunyai sistem pengangkutan awam yang bersepadu dan masalah ini telah dikenal pasti kerajaan, " katanya.

Beliau berkata untuk itu, sistem pengangkutan awam, khasnya di Lembah Klang, perlu diselaraskan, dan BRT perlu diperluaskan di projek pengangkutan awam yang lain.

Najib berkata kerajaan, tanpa ragu, telah meletakkan pembangunan sistem pengangkutan awam sebagai satu daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) kerana sedar dan peka bahawa ia merupakan cabaran penting dalam Pelan Transformasi negara.

"Kita letakkan pengangkutan awam dalam NKRA sebab selama ini kita gagal wujudkan pengangkutan awam yang bersepadu. Oleh kerana itu, kita wujudkan Kumpulan Prasarana dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk melaraskan pengangkutan awam negara," katanya.

Najib berkata kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM23 bilion untuk pembinaan jajaran transit aliran massa (MRT) yang baharu bakal menghubungkan Sungai Buloh ke Putrajaya.

Pada masa sama, kerajaan juga telah mengumumkan pembinaan jajaran sistem transit aliran ringan (LRT) ketiga bernilai RM9 bilion bagi menghubungkan Bandar Utama, Shah Alam dan Klang, katanya.
Najib kemudian menaiki bas elektrik mengelilingi kawasan sekitar selama 30 minit.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Pengerusi Kumpulan Prasarana Tan Sri Ismail Adam dan Pengerusi Kumpulan Sunway Tan Sri Jeffrey Cheah.

Sistem BRT-Laluan Sunway menjadi perkhidmatan bas pertama menggunakan 'elevated track' atau laluan bertingkat sekali gus memastikan perjalanan dapat dirancang hingga waktu terakhir.

Ia juga merupakan perkhidmatan bas awam henti-henti pertama yang menggunakan bas elektrik sepenuhnya di negara ini. Kos pembinaan infrastruktur dan sistem pengangkutan awam itu sebanyak RM634 juta.

Sistem BRT-Laluan Sunway yang meliputi laluan bertingkat sejauh 5.4 kilometer itu menempatkan tujuh buah stesen dari Sunway-Setia Jaya sehingga USJ7, Subang Jaya, dan akan dihubungkan ke stesen Komuter Keretapi Tanah Melayu Setia Jaya dan sistem LRT yang sedang dibina di USJ 7 yang akan dibuka tahun depan.

Sementara itu Ismail dalam ucapan alu-aluannya berkata BRT-Sunway Line akan beroperasi mulai esok di tujuh stesen iaitu Sunway-Setia Jaya, Mentari, Sunway Lagoon, SunMed, SunU-Monash, South Quay dengan USJ7 sebagai stesen terakhir dengan kemudahan 'park and ride' turut disediakan.

Katanya 15 bas mesra alam akan digunakan dengan setiap bas boleh memuatkan 67 orang, termasuk penumpang berdiri, pada satu-satu masa.

Beliau berkata BRT-Sunway Line akan memberi perkhidmatan kepada 500,000 penduduk di Bandar Sunway dan Subang Jaya.

Ismail berkata dijangkakan 2,400 penumpang setiap jam akan menggunakan perkhidmatan itu tahun ini dan jumlah itu diramalkan meningkatkan kepada 5,200 orang pada tahun 2035.

Thursday, 7 May 2015

Rakyat perlu yakin potensi pengangkutan awam

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
 
ARTIKEL SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Kejayaan ke arah mempunyai perkhidmatan‎ pengangkutan awam yang terbaik menjelang Wawasan 2020 hanya boleh dicapai melalui keyakinan bersama oleh semua orang.
 
Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana, Azmi Abdul Aziz berkata, orang ramai‎ termasuk pemegang saham perlu bersedia untuk melihat pengangkutan awam secara lebih positif dan maju dengan menunjukkan sikap lebih bertanggungjawab.
 
"Kita juga perlu mempersiapkan diri untuk memastikan pengangkutan awam tidak sama seperti apa yang telah dilihat, baru-baru ini.
 
"Sebelum ini, apabila kita bercakap mengenai pengangkutan awam, semua orang berkata ia adalah tanggungjawab kerajaan...ya itu betul, tetapi tidak bermakna kita harus menunggu peruntukan kerajaan bagi memastikan ia terlaksana," katanya pada ceramah bertajuk 'The Rail Challenge - Taking A City From Good To Great' di sini, semalam.
 
Azmi berkata Prasarana juga turut cuba memahami harapan generasi akan datang tentang pengangkutan awam kerana mereka bakal memasuki tenaga kerja. 
    
"Ia adalah fenomena global yang mana harapan mereka selalunya berbeza...Ini adalah beberapa faktor yang kami akan perhalusi lagi agar ia lebih menarik agar pengangkutan awam pada masa depan dapat memenuhi sasaran pasaran," katanya. 
 
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal berkata sehingga kini, 62 peratus projek pembinaan Mass Rapid Transit (MRT) telah selesai.
 
"Mungkin ada isu-isu tertentu di sana sini ketika pelaksanaannya tetapi ia  mengikut seperti yang dijadualkan," katanya memberi jaminan. - Bernama
 
 

Bantuan Tayar 1 Malaysia

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
 
 Image result for teksi

Pengenalan program bantuan Teksi Rakyat 1 Malaysia - Bantuan Tayar 1 Malaysia

 

Program bantuan Teksi Rakyat 1 Malaysia (TR1Ma) adalah dilahirkan dari cetusan buah fikiran Yang Amat Berhormat Dato' Sri Haji Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri atas keprihatinan beliau mengenai masalah yang dihadapi pemandu teksi.

Yang Amat Berhormat Perdana Menteri faham akan keluhan pemandu teksi yang menghadapi kos penyelenggaraan yang kian meningkat yang turut mengugat keselamatan serta keselesaan penumpang teksi.

Bertitik tolak daripada permasalahan itu, TR1Ma dilahirkan sebagai satu inisiatif menyeluruh bagi membantu pemandu teksi dan sekaligus menaikkan taraf perkhidmatan teksi di Malaysia. Program Bantuan Tayar 1 Malaysia untuk teksi (BT1M) merupakan program pertama yang dilancarkan di bawah TR1Ma. Antara program lain yang bakal dilancarkan di bawah TR1Ma termasuk insurans berkelompok serta khairat, duta teksi dan lain-lain lagi.

Secara ringkasnya program TR1Ma diharapkan bukan sahaja membaiki mutu perkhidmatan teksi, ia mampu meningkatkan persepsi dan keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan teksi.

Friday, 17 April 2015

Sultan Selangor Berpuas Hati Pengangkutan Awam

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

KUALA LUMPUR 16 April – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berpuas hati serta bertambah yakin dengan sistem pengangkutan awam di Lembah Klang selepas berkenan mencemar duli menaiki transit aliran ringan (LRT) dan monorel hari ini.

Malah, Sultan Sharafuddin juga percaya bahawa sistem pengangkutan awam merupakan penyelesaian terbaik bagi mengatasi masalah kesesakan jalan raya di Lembah Klang yang menjadi kawasan termaju di Malaysia.

Pengerusi Prasarana Malaysia Bhd. (Prasarana), Tan Sri Ismail Adam berkata, baginda bertitah dan berpesan kepadanya supaya pengangkutan awam perlu diperbanyakkan lagi di Lembah Klang berikutan kecekapan sistem pengangkutan itu dalam menangani masalah kesesakan jalan raya.
Malah, kata Ismail, sistem pengangkutan rel seperti LRT dan monorel merupakan sistem pengangkutan yang sebahagian besarnya terletak di negeri Selangor.

“Sultan Sharafuddin sendiri meminta kepada kami untuk mencemar duli dengan merasa sendiri perjalanan pengangkutan awam seperti LRT dan monorel. Sultan Selangor mahu melihat sendiri perjalanan pengangkutan awam ini dan baginda berpuas hati serta bertambah yakin dengan sistem pengangkutan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas mengiringi lawatan Sultan Sharafuddin menaiki LRT dan monorel di sini hari ini.

Sultan Sharafuddin menaiki LRT bermula pukul 11 pagi dari stesen Kelana Jaya sehingga ke stesen KL Sentral.

Baginda juga membayar sendiri tiket LRT dengan nilai RM2.90 bagi perjalanan integrasi di antara Stesen LRT Kelana Jaya sehingga Stesen Monorel Bukit Nenas.

Baginda dilihat berdiri di dalam LRT semata-mata untuk melihat pemandangan dan pembangunan di sekitar Selangor dan pusat bandar Kuala Lumpur.

Setibanya di stesen KL Sentral, baginda disambut oleh Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar dan Pengarah Urusan Kumpulan MRCB, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Dalam lawatan itu juga, baginda diiringi untuk mencuba pengangkutan awam monorel dari stesen KL Sentral sehingga ke stesen Bukit Nenas di sini.

Kehadiran Sultan Sharafuddin di tempat umum tersebut turut menarik perhatian para pengguna pengangkutan awam.

Lawatan baginda diakhiri dengan majlis santapan tengah hari di Hotel Concorde.

(SUMBER)

Thursday, 16 April 2015

Transformasi Pengangkutan Awam Di Negeri Terengganu

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Mesra...Dinamik...Efisien... Itulah slogan CAS LIGAS SDN. BHD. iaitu merupakan sebuah syarikat yang mengendalikan sistem pengangkutan bas awam di Negeri Terengganu dengan menyediakan perkhidmatan bas sebagai mod pengangkutan awam. Ianya merupakan sistem pengangkutan yang bersepadu, selamat, dipercayai dan efisien kepada rakyat negeri Terengganu. CaS Ligas Sdn. Bhd. adalah sebuah anak syarikat yang diperbadankan sepenuhnya oleh Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dan telah di tubuhkan pada 22 Ogos 2007.

Pengangkutan Awam Di Negeri Terengganu

Perkhidmatan bas awam ini diwujudkan bagi menaik taraf sistem pengangkutan awam di Negeri Terengganu dengan menyediakan perkhidmatan bas bandar. Bas bandar ini mengekalkan ciri-ciri dan reka bentuk warisan negeri Terengganu.

"Bas Bandar" memulakan operasi bermula jam 6 pagi sehingga 10 malam setiap hari membawa penumpang ke destinasi pelancongan antaranya Masjid Tengku Tengah Zaharah di Kuala Ibai, Pusat Kraftangan di Chendering, Pasar Besar Kedai Payang, Bukit Puteri, Istana Maziah dan Muzium Negeri serta beberapa lagi tempat menarik di sekitar Kuala Terengganu.

Bas ini bakal menjadi tarikan baru pelancong untuk melawat ke lokasi pelancongan sekitar Kuala Terengganu.

OBJEKTIF PERKHIDMATAN
  • Meningkatkan tahap mobilasi pengantaraan penduduk dari satu kawasan ke satu kawasan.
  • Menyediakan sistem perkhidmatan untuk kemudahan para pelancong.
  • Menyediakan perkhidmatan awam yang lebih murah, efisien dan selesa

Wednesday, 15 April 2015

Transformasi Perkhidmatan Bas #2

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Perkhidmatan Bas Elektrik Pertama Malaysia Bakal Beroperasi Jun Ini

PETALING JAYA, 17 Mac – Dijadualkan mula beroperasi pada Jun ini, perkhidmatan Bas Rapid Transit – Laluan Sunway (BRT) akan mencatat sejarah sebagai perkhidmatan bas elektrik penuh negara yang pertama dalam sejarah dan merupakan laluan BRT bertingkat pertama di rantau Asia Tenggara.

Gandingan kolaborasi antara Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan Kumpulan Sunway di bawah program Public Private Partnership (PPP) atau Kerjasama Awam Swasta, BRT-Laluan Sunway juga akan mencatat sejarah sebagai projek BRT yang pertama di Malaysia.

Namun, perkara yang lebih signifikan daripada catatan rekod ini adalah projek ini akan membantu mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas yang semakin serius di Bandar Sunway dan Subang Jaya, dan seterusnya menghasilkan produktiviti lebih tinggi dan gaya hidup lebih sihat di kalangan penduduk di situ.

“Dari segi manfaat, kita tidak hanya bercakap tentang 500,000 penduduk di Bandar Sunway dan Subang. Projek ini juga akan memberi manfaat kepada jutaan orang yang berkunjung ke Bandar Sunway – daripada pelancong ke  Sunway Lagoon, mereka yang membeli-belah di Sunway Pyramid, para penuntut kolej, orang tempatan yang bekerja di sekitar kawasan ini, golongan perniagaan dan mereka yang mendapatkan rawatan perubatan di Sunway Medical Centre.

“Dengan integrasi dan ketersambungan dengan perkhidmatan KTM Komuter dan LRT kami pada masa depan, impak daripada projek adalah amat besar dalam aspek mobiliti dan ketersambungan rakyat, yang menjadi intipati bisnes Prasarana.

“Kami juga berharap bahawa dengan projek ini akan membuka lebih banyak lagi pintu peluang untuk projek PPP. Kami di Prasarana sentiasa bersikap terbuka kepada apa jua cadangan demi kepentingan rakyat,” kata Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana Encik Azmi Abdul Aziz pada majlis Taklimat dan Lawatan Tapak projek BRT-Laluan Sunway di Bandar Sunway today.

Dilancarkan oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak pada 9 Jun, 2012, projek BRT menggabungkan ciri-ciri keselesaan sistem LRT dengan penggunaan laluan khusus, bas mesra alam dan infrastruktur mesra pelanggan.

Jumlah penumpang diramalkan pada 2,400 penumpang pada setiap jam tahun ini dan akan terus meningkat setiap tahun. Menjelang 2035, jumlah penumpang dijangka mencapai 5,200 penumpang dalam sejam.

“Dengan perniagaan di Bandar Sunway dan Subang Jaya dijangka terus berkembang khususnya dengan perancangan mantap Kumpulan Sunway,  projek BRT-Laluan Sunway akan terus meningkat terutamanya usaha-usaha agresif Prasarana yang berterusan bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam di kalangan rakyat Malaysia,” tambah Azmi.

Bertingkat sepenuhnya dengan jarak 5.4km dengan 7 stesen termasuk satu fasiliti ‘Parkir dan Gerak’ dan satu depot serba lengkap, BRT-Laluan Sunway akan menggunakan 15 bas mesra alam. Dengan kelajuan maksima 80km/jam, bas-bas ini dilengkapi sepenuhnya dengan fasiliti untuk golongan OKU dengan kapasiti 67 penumpang di mana 25 duduk.

Tujuh stesen itu ialah Stesen Sunway – Setia Jaya, Mentari, Lagoon, SunMed, SunU-Monash, South Quay dan stesen USJ7. Stesen SunU-Monash menempatkan fasilti ‘parkir dan gerak’; menyediakan 1,153 petak letak kereta termasuk 102 petak khas untuk pemandu wanita dan 23 untuk golongan OKU.

Dalam ucapan pembukaannya, Pengerusi Prasarana Tan Sri Ismail Adam merakamkan ucapan penghargaan kepada Kumpulan Sunway atas keyakinan untuk bekerjasama dengan dalam melaksanakan projek ini.

“Kami mempunyai hubungan kerjasama yang amat baik dan projek ini adalah bukti bahawa syarikat-syarikat korporat dan sektor awam boleh bekerjasama untuk kedua-dua kepentingan bisnes dan nasional,” tambah Tan Sri Ismail.

Saturday, 11 April 2015

Transformasi Perkhidmatan Teksi #2

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

SPAD perkenal aplikasi MeterON tingkat mutu perkhidmatan teksi.

Dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan teksi, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada Rabu melancarkan aplikasi "Meter On".

Aplikasi Meter On sesuai digunakan untuk telefon bimbit Android dan iOS dan boleh dimuat-turun menerusi Google Play secara percuma.

Aplikasi Meter On dilengkapi enam ciri utama, iaitu pengesahan pemandu, penjejak perjalanan, anggaran tambang, penilaian pemandu, isyarat kecemasan (SOS) dan maklum balas/aduan.

Setakat ini lebih 50 ribu teksi di seluruh Semenanjung telah berdaftar dalam data aplikasi Meter On ini.

Pelancaran Meter On disempurnakan oleh Pengerusi SPAD, Tan Sri Dr Syed Hamid Albar. Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Nur Ismal Kamal, Ketua Pegawai Operasi, Halim Husain dan Ketua Bahagian Penguatkuasaan, Datuk Paduka Che Hasni Che Ahmad.

Menurut Syed Hamid, ciri pengesahan pemandu dalam aplikasi Meter On boleh memberi jaminan keselamatan kepada penumpang.

"Pengguna boleh membuat pemeriksaan sendiri samada pemandu teksi yang bakal dinaiki itu memiliki lesen atau permit berdaftar dengan SPAD.

"Menerusi Meter On pengguna cuma perlu memasukkan nombor pendaftaran teksi untuk membolehkannya menyemak maklumat terperinci mengenai pemandu. Tekan saja, semua dah ada," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas pelancaran.

Menurut Syed Hamid lagi, ciri penjejak perjalanan yang terdapat pada Meter On membolehkan penumpang berkongsi lokasi perjalanan dengan keluarga atau kenalan rapat sehingga sampai ke destinasi.

Katanya lagi, penumpang yang menggunakan aplikasi Meter On juga boleh mendapatkan anggaran tambang perjalanan apabila mengisi destinasi asal dan destinasi yang ingin dituju.

Bagaimanapun katanya, anggaran tambang yang diberikan hanya berdasarkan teksi Bajet, TEKS1M, Eksekutif, Premier dan Kereta Sewa sahaja. Bagi teksi ke lapangan terbang, tambang adalah berdasarkan tambang zon yang ditetapkan oleh terminal.

Syed Hamid berkata, menerusi aplikasi Meter On juga penumpang boleh menilai pemandu atau membuat aduan di samping menghantar mesej kecemasan (SOS) kepada SPAD atau Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Menjawab soalan pemberita, Syed Hamid berkata, perkhidmatan UBER tidak termasuk dalam penggunaan aplikasi ini kerana ia adalah perkhidmatan haram.

"UBER itu haram. Saya minta penumpang jangan guna kerana ia bukan perkhidmatan teksi yang berdaftar," tegasnya.

Sementara itu Mohd Nur  menjelaskan, aplikasi Meter On telah disepadukan dengan sistem perlesenan SPAD. Lantas ia boleh menunjukkan samada pemandu teksi berkenaan berdaftar atau tidak.

"Kalau pemandu itu tak ada dalam sistem, jangan naik teksinya dam buatlah aduan serta merta kepada SPAD," katanya.

Mohd Nur berkata semua aduan yang diperolehi dari aplikasi Meter On akan dikendalikan oleh Pusat Aduan SPAD.

"Untuk aduan kecemasan, Pusat Aduan akan bertindak serta merta. Kalau komen lain ia akan diuruskan dalam masa 24 jam," katanya.

Transformasi Perkhidmatan Bas

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-henti 

Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-henti

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah memeterai perjanjian dengan Cityliner Sdn Bhd dan MARA Liner Sdn Bhd untuk memperkenalkan konsep baru perkhidmatan bas henti-henti yang berasaskan konsep ‘network planning’ bagi Seremban dan Kangar.

Menerusi skim Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-henti (‘SBST’) rakyat akan menikmati perkhidmatan yang lebih cekap dan boleh dipercayai.

Skim ini akan dilancarkan pada bulan April bagi Seremban, manakala Perlis pada bulan Jun 2015. Skim ini juga dijangka akan diperkenalkan di Ipoh, Kuala Terengganu dan Kuching pada tahun ini.

Projek ini akan meningkatkan akses kepada perkhidmatan bas di kelima-lima bandar di mana bas henti-henti akan menjadi tunjang kepada sistem perkhidmatan awam

Menjelang 2020, projek ini dengan kerjasama rapat kerajaan negeri akan dilaksanakan di kesemua daerah di seluruh negara.

Transformasi yang dilaksanakan ini membolehkan pengguna pengangkutan awam menikmati peningkatan dalam rangkaian perhubungan dan perkhidmatan yang boleh dipercayai ke kawasan utama seperti pusat komersil, kawasan perumahan serta sekolah-sekolah dan kolej.

Projek ini mengintegrasikan pengangkutan awam seperti bas henti-henti, bas ekspress dan perkhidmatan rel.

Pada majlis pemeterian perjanjian di Kuala Lumpur Jumaat SPAD diwakili Pengerusinya, Tan Sri Dr Syed Hamid Albar dan Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal. 

Pengarah Eksekutif Cityliner, Tengku Mohd Hasmadi Tengku Hasim dan Pengarah MARA Liner, Puan Rohayah Mohd Zain telah memeterai perjanjian bagi pihak Cityliner dan MARA Liner.

Transformasi Perkhidmatan Teksi

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Bagi meningkatkan imej teksi di Kuala Lumpur, kita sepatutnya mencontohi perkhidmatan di negara-negara yang telah diktiraf sebagai terbaik.

Bancian oleh syarikat penyedia perkhidmatan tempahan hotel secara dalam talian, Hotels.com pada tahun lalu mendapati perkhidmatan teksi di London adalah yang terbaik di dunia dan status itu kekal selama enam tahun berturut-turut.

Tempat kedua terbaik adalah perkhidmatan teksi New York, ketiga, Tokyo; keempat Berlin; kelima dikongsi secara bersama oleh Amsterdam, Madrid dan Mexico City; keenam Bangkok, Singapura dan Bogota serta ketujuh Las Vegas, Vancouver dan Mumbai.

Jika dilihat kepada kejayaan perkhidmatan teksi London dan New York menduduki dua tempat teratas, Ini berpunca kerana wujud skim latihan khas bagi melahirkan pemandu yang berhemah.

Sebelum memperoleh lesen teksi, bakal pemandu teksi di London perlu belajar antara dua hingga empat tahun sebelum menduduki ujian 'The London Knowledge' yang cukup sukar untuk lulus.
Untuk lulus, pemandu perlu menghadiri kursus serta menghafal dan mahir semua 320 laluan, 25,000 nama jalan di bandar raya itu dan juga mengetahui 30,000 mercu tanda termasuk bangunan bersejarah, sekolah, balai polis dan hospital daripada buku panduan khas 'Blue Book' yang disediakan.

Ujian akan dilakukan secara bertulis dan juga sesi temu duga bersemuka. Turut diperiksa adalah rekod kesihatan dan kelakuan pemohon bagi memastikan mereka tidak mempunyai rekod jenayah.
Walaupun Malaysia dikatakan banyak mewarisi sistem pentadbiran yang ditinggal penjajah Inggeris tetapi ini tidak termasuk dari segi latihan pemandu teksi oleh Pejabat Pengangkutan Awam Britain (PCO) yang diperkenal sejak 1865.

Di New York pula, skim latihan disediakan oleh sekolah khas untuk pemandu teksi. Setelah mengikuti latihan selama 80 jam, calon akan menduduki peperiksaan khas. Mereka juga perlu menjalani pemeriksaan perubatan dan disahkan bebas daripada najis dadah.

Dari segi saiz kereta pula, teksi London atau lebih dikenali dengan nama 'Black Cab' menggunakan kenderaan yang direka khas untuk teksi sahaja yang dikeluarkan oleh London Taxi Company (LTC).

Teksi yang menjadi ikon London cukup luas dan selesa serta boleh bertahan selama 15 tahun dengan kos penyelenggaraan yang rendah.

Oleh itu, Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam mencontohi negara-negara terbabit. Transformasi segera haruslah dilakukan terhadap perkhidmatan teksi di Kuala Lumpur. Antaranya ialah :-

1) Mewujudkan sekolah khas untuk pemandu teksi dan menambah baik garis panduan Kod Etika Pemandu Pengangkutan Awam yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). 

2) Kerajaan juga perlu memperbanyakkan Teksi 1Malaysia (TEKS1M) berasaskan model Proton Exora untuk menggantikan teksi bersaiz kecil sekarang. 

SPAD yakin boleh transformasi pengangkutan awam sebelum 2020

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

ARTIKEL BERITA HARIAN

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yakin dapat mentransformasi sepenuhnya sistem pengangkutan awam darat di negara ini menjelang 2020.
Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar, berkata SPAD sedang melaksanakan pelbagai langkah bagi menambah baik pengangkutan darat termasuk membabitkan kenderaan berat.

"Sistem pengangkutan negara kita tidak pernah diselarikan dengan kemajuan dan pembangunan negara... Bagi kami masa untuk ubah dan tambah baik kerana untuk ubah sesuatu sistem yang dah lama wujud bukan boleh siap dalam sehari," katanya kepada Bernama, di sini.

Katanya walaupun SPAD menerima banyak tentangan terhadap usaha yang dilakukan, beliau menganggap halangan itu petunjuk bahawa mereka berada di landasan yang betul.

"Sebenarnya keadaan fizikal sistem pengangkutan negara kita baik tetapi saya yakin ia mampu menjadi lebih efisien dan cemerlang sekiranya mendapat kerjasama pihak pengendali pengangkutan di luar sana untuk menjadikannya lebih cemerlang," katanya.

Sejak ditubuhkan 2010, SPAD melaksanakan beberapa pembaharuan bagi menambah baik pengangkutan awam, khususnya di Lembah Klang dan yang terkini memperkenalkan perkhidmatan bas percuma Go-KL City Bus yang mencetuskan kemarahan segelintir pengusaha teksi.

Menjawab isu itu, Syed Hamid yang mengakui ramai pemandu terasa diri mereka dianiaya dengan tindakan tersebut, berkata tanggungjawab SPAD memastikan orang awam mendapat perkhidmatan yang baik.

"Jika mereka marah dengan perkhidmatan bas percuma Go-KL, perkara itu tidak sepatutnya kerana perkhidmata cuma melibatkan dua laluan dan saya yakin jika perkhidmatan yang disediakan teksi memuaskan, penumpang termasuk pelancong akan menggunakan perkhidmatan mereka," katanya.

Perkhidmatan bas percuma itu hanya meliputi Laluan Hijau (KLCC-Bukit Bintang) sejauh 7.4 kilometer dan Laluan Ungu (Hab Pasar Seni-Bukit Bintang) sejauh 6.5 km.

Syed Hamid juga mendedahkan perkhidmatan rel iaitu komuter dan tren elektrik Keretapi Tanah Melayu Berhad paling banyak menerima rungutan orang ramai kerana sering lewat dan tidak efektif.

Perkara itu katanya sedang ditangani termasuk dengan penambahan 36 gerabak baru.

Mengenai Pekeliling SPAD berhubung had muatan lori yang dikuat kuasa 25 September lalu, Syed Hamid berkata pekeliling itu bagi memastikan menjamin keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

"Pekeliling itu untuk memastikan pengendali lori tidak terlalu tamak membawa muatan sehingga membahayakan pengguna jalan raya yang lain serta merosakan jalan.

"Jika jalan raya rosak, untuk membaikinya menggunakan duit cukai dan ia adalah hasil kutipan cukai rakyat," katanya. - BERNAMA

Friday, 10 April 2015

Kepentingan Pengangkutan Awam

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

KEPENTINGAN PENGANGKUTAN AWAM | Dewasa ini, kemungkinan besar masih terdapat segelintir rakyat yang mempunyai tahap kesedaran yang rendah terhadap penggunaan pengangkutan awam dapat memberikan banyak kepentingan. 

Oleh hal demikian, kita yakni masyarakat Malaysia haruslah sentiasa menggunakan pengangkutan awam kerana :-

1) Pengangkutan awam dapat mengelakkan kesesakan lalu lintas di bandar-bandar utama. 
Apabila kita menggunakan pengangkutan awam, secara automatiknya kenderaan persendirian akan berkurang jumlahnya di jalan-jalan raya. Jadi, ketidaklancaran perjalanan pastinya dapat dibendung dan tiada lagi kesesakan di jalan raya. Selain itu, perkara ini dapat menjimatkan masa kita.

2) Pengangkutan awam dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di Malaysia.
Sesungguhnya tidak dapat dinafikan bahawa malang itu tidak berbau, namun kita haruslah berwaspada agar malang itu tidak terjadi. Oleh itu, wajarlah kita menggunakan pengangkutan awam kerana apabila ramai yang menggunakannya, pastinya bilangan kenderaan di jalan raya berkurangan seterusnya bilangan kemalangan akan berkurangan juga. Seterusnya, negara pastinya akan dipandang tinggi di mata negara lain dengan kadar kemalangan yang berlaku di Malaysia adalah rendah.

3) Pengangkutan awam dapat menggalakkan masyarakat berinteraksi antara satu sama lain.
Kehidupan masyarakat majmuk di negara Malaysia ini pastinya akan harmoni apabila kita semua sentiasa berinteraksi dan saling hormat-menghormati ketika menggunakan pengangkutan awam. Hal ini pastinya akan mengeratkan hubungan semua kaum seterusnya mendokong gagasan 1 Malaysia yang mementingkan perpaduan.

Justeru itu, haruslah kita melakukan transformasi dalam diri dengan menggunakan pengangkutan awam kerana perkara ini mendatangkan pelbagai kepentingan. Sesungguhnya transformasi yang dilakukan diri sendiri pastinya akan membuahkan hasil yang memuaskan dan membantu pelbagai pihak.

Maksud Transformasi Pengangkutan Awam Keutamaan Rakyat

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

TRANSFORMASI PENGANGKUTAN AWAM KEUTAMAAN RAKYAT

MAKSUD TRANSFORMASI PENGANGKUTAN AWAM KEUTAMAAN RAKYAT | Menurut rujukan di laman web Pusat Rujukan Persuratan Melayu @ DBP , transformasi pengangkutan awam dapat didefinisikan sebagai :-

TRANSFORMASI : perubahan rupa, bentuk, sifat dan lain-lain.

PENGANGKUTAN AWAM : Sistem pengangkutan bermotor seperti teksi, bas, dan kereta api yang boleh digunakan oleh orang ramai di kawasan tertentu dengan kadar tambang yg telah ditetapkan.

KEUTAMAAN : Kelebihan daripada yang lain; keistimewaan; keunggulan.

RAKYAT : Seluruh penduduk sesebuah negara.

Diharapkan ramai yang mengerti akan maksud transformasi pengangkutan awam ini .